Bertudung adalah hak wanita Islam : Polisi Hotel Antarabangsa bukan polisi mutlak.

Aduan daripada pekerja wanita yang disuruh membuka tudung ketika menjalankan tugas di bahagian perkhidmatan pelanggan harus diambil serius. Ini kerana ia bukan polisi mutlak bagi industri perhotelan seperti yang didakwa Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee.

Ini bukan isu pertama berkaitan diskriminasi ke atas wanita Muslim berlaku di negara kita. Pada tahun 2014, seorang guru mualaf, Cikgu Choi Yi Shan telah dipaksa membuka tudung jika ingin mengajar di sebuah sekolah SJKC. Juga baru-baru ini diskriminasi sebuah hotel di Pahang terhadap wanita Islam menerusi papan tanda kolam renang telah menjadi tular.

PEMBINA memandang serius isu ini kerana ia berkait diskriminasi ke atas wanita Islam yang bertudung. Sungguh mengecewakan pendirian pengusaha hotel yang berkiblatkan polisi antarabangsa tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Polisi antarabangsa seperti dakwaan Cheah Swee Hee bukanlah polisi mutlak yang perlu diikuti tanpa menimbangkan budaya dan pegangan agama di sesebuah negara. Di Malaysia, Islam adalah agama bagi negara dan seluruh rakyat termasuk ahli perniagaan harus menghormati Perkara 8 dan Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan hak beragama dan menolak diskriminasi berasaskan agama atau kaum.

PEMBINA memohon perhatian Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Sumber Manusia untuk hentikan amalan diskriminasi terhadap wanita ini dengan mengambil tindakan kepada pengusaha hotel sama ada menarik lesen atau menggantung lesen mereka.

PEMBINA menyeru umat Islam khususnya untuk memboikot mana-mana hotel atau pusat perlancongan yang mengamalkan polisi diskriminasi ke atas wanita Islam yang dinafikan hak mereka untuk bertudung ketika bertugas.

Diskriminasi ini adalah satu bentuk penghinaan ke atas arahan Allah Taala dan sewajarnya ditentang atas asas memelihara maruah wanita Islam. Kejadian berulang ini harus diambil iktibar seluruh umat Islam untuk mengambil inisiatif menyokong hotel-hotel dan pusat pelancongan yang menghormati pekerja dan pengguna beragama Islam.

Khairunnisa binti Mazlan
Naib Presiden 2 PEMBINA