BERLARI PADA ALLAH EPISOD 5 : MAMPU

Petang itu Asmaa’ dan Zinnirah bersiar-siar di taman rekreasi di kawasan universiti mereka. Mereka melabuhkan punggung di salah sebuah bangku kayu yang terletak agak jauh dari kawasan orang ramai.

“Asmaa’ aku nak baca Al-Quran ni, kau tolong semak ya?”

“Boleh, untuk kau semua boleh. Bacalah”

Selepas membaca ta’awuz dan basmalah, Zinnirah memulakan bacaannya. Tiba pada ayat ke-155 Surah Al-Baqarah, Asmaa’ menegur bacaan Zinnirah, “Dengung dua harakat dekat anfusi, Ann..fusi. Sebab huruf nun sakinah berjumpa dengan huruf fa. Hari tu kita belajar apa nama hukumnya?”

“Oh ikhfa’ hakiki”

“ Pandai, okay sambung baca.”

Zinnirah meneruskan bacaannnya sehingga ayat terakhir muka surat tersebut.

“Asmaa’ bila aku boleh baca lancar macam kau? Sekarang aku baca Al-Quran pun masih terbata-bata lagi dan banyak salah tajwid,” keluh Zinnirah.

“Tak apa. Aku dulu pun macam kau. Lama-lama akan lancarlah bila kita baca Al-Quran hari-hari, bukan bulan Ramadan sahaja. Kau nak tahu mafhum dari sebuah hadis, Rasulullah SAW beritahu, siapa yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran, baginya dua pahala. Satu pahala baca Al-Quran dan satu lagi pahala kesusahan dia untuk baca Al-Quran.”

“Subhanallah, Maha Baiknya Allah” Zinnirah berasa kerdil.

“Haah, Allah memang Baik, Maha Baik.”

“Hmmm.. aku rasa menyesal sangat sebab salahkan Allah apa yang terjadi dalam hidup aku.” Keluh Zinnirah menyesal. “Sepatutnya aku bersyukur walaupun aku tak ada ibu dan ayah, aku masih ada abang yang boleh jaga aku. Alhamdulillah.”

“Alhamdulillah, tak apa yang berlalu kita biarkan berlalu dan ambil pengajaran. Sekarang kita mulakan hidup baru.” Ujar Asmaa’ penuh motivasi lalu dia menyambung lagi, “Cuba kau baca maksud ayat muka surat yang kau baca tu.”

Zinnirah menuruti arahan Asmaa’. Kedua-duanya diam. Hanya kicauan burung dan kocakkan air tasik yang kedengaran.

“Begitulah hidup Irah, Allah memang akan uji kita dengan pelbagai ujian. Sehingga mungkin suatu saat kita rasa tidak tertanggung lagi, tetapi yakinlah setiap ujian Allah untuk hamba-Nya itu sesuai dengan kemampuan kita. Itu janji Allah dalam Al-Quran ayat terakhir Surah Al-Baqarah. Allah SWT lebih kenal diri kita berbanding diri kita sendiri.”

“Kenapa Allah akan uji kita Asmaa’?” tanya Zinnirah polos.

“Antara sebabnya, dalam Surah Al-Mulk ayat kedua Allah berfirman yang bermaksud, Yang menciptakan mati dan hidup,untuk menguji kamu,siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Kuasa . Maha Pengampun. Pada setiap ujian ni Irah, kita ada dua pilihan, sama ada ingin mengikut wahyu Tuhan atau telunjuk syaitan.”

“Alhamdulillah. Terima kasih Asmaa’ sebab selalu nasihatkan aku. Alhamdulilah aku tenang dengan diri aku sekarang.”

“Tak ada apalah. Aku pun ingatkan diri aku juga. Semoga dengan rahmat Allah kita dapat sama-sama berpimpin tangan tatap wajah Allah dan masuk ke syurga tertinggi, Syurga Firdausi.”

“Aamiin.” Zinnirah mengaminkan doa Asmaa’. “Asmaa’ jom balik dah nak berbuka.”

“Jom.”

Mereka mula meninggalkan bangku kayu itu dan berjalan beriringan  memerhatikan mahasiwa mahasiwi yang meluangkan masa di taman rekreasi itu. Ada yang membaca Al-Quran, ada yang bermain gajet dan tidak kurang juga yang duduk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah. Astaghfirullah. Ini adalah masalah umat yang perlu ditangani.

Tiba-tiba Asmaa’ merasakan sakit pada bahagian kepala. Matanya berpinar. Dunianya gelap serta-merta.

“Asmaa’ !”

Author Nor Syamimi

More posts by Nor Syamimi

Leave a Reply