BERLARI PADA ALLAH EPISOD 2 : KEMBALI

“Ibu, jangan tinggalkan Lia ibu.” Esak Aulia. Digoncang-goncang tubuh ibunya, jasad yang sudah tidak bernyawa. Darah merah ibunya memenuhi ruang dapur rumah yang kecil itu. Bau hanyir darah yang masih segar menandakan tragedy keluarga ini telah tiba ke kemuncak dengan satu kegilaan manusia yang hilang kewarasan sehingga tergamak membunuh ahli keluarga sendiri.

“Ayah jahat!” laung Aulia. Dia terlalu muda untuk lalui semua ini. Usianya baru sahaja mencecah 14 tahun. Oh, terlalu muda!

*****

“Irah, buat apa tu?” sergah Asmaa’.

“Tengok filem.” Jawab Zinnirah sambil tersengih macam kerang busuk.

“Sudah-sudah tak payah nak buat iklan gigi dekat sini. Tengok ni aku belikan apa, shawarma! Hehe.. Jom makan, aku lapar.”

“Iyalah, jom.” Zinnirah menutup komputer ribanya lalu menyertai Asmaa’.

“Asmaa’, terima kasih tau untuk yang hari tu,” ujar Zinnirah sambil mulutnya meneruskan suapan shawarma yang seterusnya.

“Janji dengan aku jangan buat macam tu lagi. Nak gugur jantung aku tahu tak?” Asmaa’ masih ingat betapa cemasnya dia memandu kereta pada jam 3.30 pagi kerana Zinnirah di hospital, lemas atas cubaan membunuh diri.

Asmaa’ meneruskan bicaranya setelah melihat tiada respon dari Zinnirah, “Irah, kita hidup ni ada Allah. Bergantung haraplah kepada Allah, bukan manusia. Kalau kita bergantumg harap kepada manusia, kita sebenanrnya hanya menanam benih-benih kecewa. Lepas tu kau nak tuai apa? Air mata Irah, air mata”

Kunyahan Zinnirah menjadi perlahan. Matanya berair. “Asmaa’ dari mana aku nak mula?”

“Mula apa?”

“Mula bergantung harap kepada Allah.”

“Haa sekejap.” Asmaa’ membuka almari pakaiannya dan mengambil sesuatu.

“Nah aku memang nak hadiahkan kau ni sempena Ramadan esok.” Asmaa’ menghulurkan sesuatu.

Zinnirah membuka kotak yang berbalut merah jambu itu. “Telekung.” Zinnirah separa menjerit. Teruja.

“Mula dengan solat ya Irah. Aku tak pernah tengok kau solat sejak dua semester kita sebilik.”

“Hmmm.. ajar aku solat boleh?”

“Mestilah boleh!” Asmaa’ terharu seraya memeluk Zinnirah.

“Eh Asmaa’ kenapa badan kau panas ni?”

“Memanglah panas sebab tadi keluar beli makanan.” Asmaa’ tersenyum. Tiba-tiba ideanya datang untuk mengenakan Zinnirah, “Sayang juga kau pada aku ya?”

“Tak, tak sayang pun.”

“Ish.” Asmaa’ membaling bantal lehernya ke arah Zinnirah.

“Aduh, habis comot,” rungut Zinnirah.

“Biar, main-main lagi dengan aku.”