BELIAWANIS SURI TELADAN UMMAH

Mutakhir ini banyak isu yang dicanangkan masyarakat tentang keghairahan para beliawanis atau anak muda wanita akan kecantikan luaran. Video tutorial solekan berada di sana-sini. Setiap kali penulis masuk ke media sosial, ada sahaja video bertema ini berlegar minta ditekan suka dan kongsi. Ada yang dilakonkan oleh wanita sendiri, dan ada juga yang dilakonkan oleh jantina yang satu lagi, lelaki. Lelaki pun tidak mahu kalah dalam menjadi pendidik dalam bidang ini.

Ya, jika dilihat, budaya mencantikkan fizikal luaran menjadi satu ikutan anak muda zaman kini. Masing-masing bersaing untuk menjadi yang paling bebas cela mukanya, putih tangannya, menonjol urat hijaunya, ketat bajunya, langsing pinggangnya dan bundar matanya.

Jika ditanya, apa yang didefinisikan dengan cantik, semua akan menjawab bahawa cantik itu subjektif. Lain orang, lain maknanya tentang cantik. Akan tetapi diakhir sekali kita akan dapati maksud cantik mereka sama sahaja sebenarnya. Si cantik ialah yang pandai bergaya, muka ditata rias indah dan berani menonjolkan diri.

Menurut saudari Khairunnisa Mazlan, Ketua Beliawanis PEMBINA dalam sidang media Festival Beliawanis Nasional 2017, seseorang beliawanis seharusnya bijak dalam mempersembahkan penampilan diri sendiri. Hal ini akan membuatkan kita mudah untuk masuk dalam masyarakat dan berkeyakinan untuk menyampaikan kebenaran. Dalam seruan menganggunkan diri, ketelitian mencari panduan yang betul amat dititik beratkan. Kecantikan mesti diselarikan dengan syarak dan tuntutan agama itu sendiri. Bukan panduan kecantikan daripada manual barat atau golongan jahiliah. Boleh mahu cantik, tetapi usah berlebihan!

Peluang menyertai FBN 2017 pada kali ini sungguh membuka mata penulis. Keunikan yang ditonjolkan seperti acara senamrobik di awal pagi dan reruai pemeriksaan kesihatan secara percuma di sana, mencerminkan bahawa tema sihat dan cantik benar-benar mahu ditekankan oleh beliawanis PEMBINA. Terasa aura penting dalam dua unsur itu.

Saudari Khairunnisa ada menegur segelintir beliawanis yang lebih suka untuk memilih gaya hidup yang tidak aktif. Gemar duduk di dalam bilik bersama gajet, tidak mahu keluar bersosial dan bersukan.

“Gaya hidup begini amat membimbangkan. Hal ini kerana ia boleh mengganggu keseimbangan kesihatan fizikal, emosi dan juga rohani seseorang. Tidak pandai berkomunikasi secara berdepan akan mendatangkan masalah dikemudian hari. Terutamanya ketika menghadiri sesi temuduga untuk mencari pekerjaan nanti.”

Menurut beliau, tidak dinafikan ada segolongan beliawanis yang suka mengikuti pelbagai acara larian yang diadakan di seluruh Malaysia.  Dan wujud juga segolongan yang suka memerap di dalam rumah sahaja. Ini adalah realiti masyarakat.

Disebabkan isu inilah beliawanis PEMBINA mengambil inisiatif untuk mengadakan program wanita secara tertutup dua tahun sekali ini. Membuka peluang beliawanis berkomunikasi bersama sahabat baru, berkenalan bertukar idea, di samping menyertai aktiviti-aktiviti yang menyihatkan dan mencabar minda.

Tambahan lagi, ada empat pesanan beliau untuk para beliawanis di luar sana. Pertama, beliawanis harus belajar untuk memperkemas penampilan diri bila keluar bersama masyarakat. Kedua, beliawanis tidak perlu wujud istilah malas atau sudah cukup dengan ilmu sedia ada. Tambah pengetahuan sebanyak mungkin daripada pelbagai bidang.

Ketiga, beliawanis hendaklah keluar daripada kepompong pasif untuk bermasyarakat dan mengambil cakna masalah sosial yang berlaku sekarang. Terakhir sekali, program-program yang disasarkan untuk golongan yang kurang bernasib baik harus diadakan secara konsisten supaya para beliawanis dapat memberi sumbangan dan bantuan. Potensi dan bakat sukarelawan juga dapat dipupuk secara tidak sedar.

Kesimpulannya, beliau menasihati agar beliawanis PEMBINA segera ambil peranan untuk jadi inspirasi buat orang lain di luar sana. Kita bukanlah yang terbaik, tapi kita cuba untuk jadi yang terbaik.  Anggun peribadi, inspirasi beliawanis.

 

Nur Farhana binti Zali

JK Penerangan

Sekretariat Beliawanis PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top