Beliawanis PEMBINA tegaskan peranan belia dalam politik negara di Kongres NGO Islam

Bangi, 28 Mei: Sharifah Abdul Samad, ahli Jawatankuasa Unit Kajian dan Informasi, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah dijemput menyampaikan sudut pandang belia dalam slot ‘Penyantunan Politik Ummat’ di Kongres NGO Islam, anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia. Slot yang dipengerusikan oleh Dr. Yusri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua YADIM itu turut menampilkan beberapa tokoh Malaysia termasuk Ustaz Ismail Mina bin Haji Ahmad, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Naib Pengerusi Himpunan Keilmuan Islam (HAKIM) sebagai ahli panel.

Sharifah di dalam ucapannya telah menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan masa depan politik negara. Beliau yang juga merupakan pengkaji ideologi liberalisme di dalam Unit Kajian & Informasi PEMBINA turut mengulas bahawa politik liberal hari ini akan melenyapkan jatidiri belia Islam secara perlahan-lahan. Katanya lagi, belia yang merupakan generasi yang bakal mencorak kepimpinan akan datang, jika di peringkat awal lagi sudah dibentuk dengan corak pemikiran barat, acuan pemikiran Islam tidak mampu dipertahankan di kemudian hari.

“PEMBINA menyeru ibu bapa agar memerhatikan anak-anak mereka supaya tidak terikut-ikut dengan budaya liberalisme hari ini. Sebagai contoh, budaya seks songsang yang dikenali sebagai LGBT merupakan ancaman kepada jatidiri anak-anak,’’ tegas Sharifah sebagai mengakhiri ucapannya.

Khadijah Afifah binti Ahmad, aktivis PEMBINA Gombak ketika ditemui wartawan Media PEMBINA berkata, PEMBINA menyambut baik usaha YADIM dan NGO-NGO Islam dalam menyediakan ruang kepada para hadirin memahami dan mengetahui faktor-faktor yang menjadi ancaman jatidiri umat Islam pada hari ini.

Kongres NGO Islam ini dihadiri lebih 1,000 orang dan telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tan Sri Muhyiddin di dalam ucapannya menegaskan bahawa agama Islam menolak kebebasan hak asasi manusia yang melampau sehingga bertentangan dengan nilai islam dan mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Beliau turut menegaskan berkenaan kepentingan peranan NGO Islam itu memandangkan umat Islam bukan sahaja dibelenggu dengan pelbagai krisis, malah diasak dengan serangan minda yang jika tidak ditangani dengan berhemah akan menyebabkan umat Islam menjadi semakin keliru dan berpecah-belah.

Tan Sri Muhyiddin turut berkenan menerima Resolusi Kongres daripada Naib Pengerusi Himpunan Keilmuan Islam (Hakim), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Salah satu resolusi yang dicatatkan sebagai hasil kongres tersebut adalah gesaan agar pihak kerajaan menggunakan kuasa yang didasari Perlembagaan Persekutuan sebagai sanggar kepada keutuhan agama, serta menuntut umat Islam di negara ini bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top