Apakah identiti Negara Malaysia: Sekular atau Islam?

photo_2015-04-14_15-46-44

Ucapan-ucapan oleh DAP dan MCA yang mengatakan Malaysia ini sebuah negara sekular bukanlah suatu ucapan yang pertama kali diucapkan. Perbalahan mengenai identiti negara ini sudah diperdebatkan seawal usia kemerdekaan lagi.  Pandangan-pandangan seperti yang pernah diutarakan oleh beberapa Perdana Menteri dan Menteri seperti Tunku Abdul Rahman misalnya (yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular), Tun Hussein Onn (yang juga mengatakan bahawa Malaysia negara sekular), Tun Dr. Mahathir (yang menegaskan Malaysia negara Islam), Dato Sri Nazri Aziz (yang menafikan Malaysia negara sekular), dan Dato Sri Jamil Khir Baharom (yang menegaskan Malaysia negara Islam) masih tidak memberi satu kepaduan apakah identiti sebenar Malaysia.

Buat pengetahuan umum, autoriti legislatif (Parlimen) dan Ekskutif tidak mempunyai kuasa menentukan identiti Negara. Dalam ruang kehakiman, suara dari kedua-dua kuasa ini hanyalah sekadar pandangan yang tidak valid untuk menterjemahkan identiti negara menurut perlembagaan. Walaupun tidak dinafikan kata-kata mereka mampu mendoktrin rakyat-rakyat marhaen supaya mempercayai apa yang mereka ingin rakyat percayakan. Walaupun begitu, masih identiti negara menurut perlembagaan boleh ditentukan menurut beberapa kaedah iaitu dengan 1) tafsiran penggubal perlembagaan 2) menilai dokumen-dokumen perlembagaan seperti Laporan Suruhanjaya Reid dan cadangan kertas putih dan 3) melalui penafsiran di ruang mahkamah.

 

Adakah benar Laporan Suruhanjaya Reid dan Cadangan Kertas Putih mahukan Malaysia sebuah negara sekular?

Laporan Suruhanjaya Reid 1956

Ramai yang beranggapan bahawa Laporan Suruhanjaya Reid 1956 telah memberi satu identiti akhir kepada Malaysia iaitu sebuah identiti negara sekular. Sebenarnya ramai yang masih tidak jelas akan fungsi dan naratif suruhanjaya ini. Suruhanjaya ini hanyalah sekadar pengumpul cadangan dan memorandum untuk dihantar kepada Kerajaan British dan menghasilkan Kertas Putih melalui cadangan-cadangan tersebut. Ia tidak mempunyai autonomi untuk menentukan identi negara.

Namun begitu, kebanyakan golongan pengamal undang-undang mempercayai bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah membaca tulisan Tommy Thomas yang bertajuk “Is Malaysia is an Islamic State?” yang dibentangkan di Malaysian Law Conference ke-13.  Tulisan Tommy Thomas secara akademiknya memuatkan sebuah konklusi bahawa Suruhanjaya Reid  lah yang merupakan entiti yang bertanggungjawab  meletakkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Semenjak itu, tulisan tersebut telah menjadi rujukan utama dalam menentukan identiti Negara.

Menurut Tommy Thomas, terdapat satu kenyataan tegas di dalam Laporan Suruhanjaya yang menyebut kedudukan agama Islam tidak akan menggangu kesekularan negara ini. Beliau telah memetik Laporan Suruhanjaya Reid pada perenggan 169 secara tidak benar. Perenggan ini menyebut:

“We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims – ‘the religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the State is not a secular State’.”

Menurut perenggan ini, Suruhanjaya Reid telah membuat satu penegasan kedudukan islam sebagai The Religion of Malaya tidak akan mengganggu status sekular negara ini. Sebenarnya, kenyataan ini salah, telah diubah maksud,  dan dibuang ayat yang tidak diingini. Kenyataan sebenar perenggan 169 telah dibuang satu ayat yang telah mengubah secara langsung status sekular negara ini iaitu:

We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims. In the Memorandum submitted by the Alliance it was stated – “the religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the State is not a secular State.’

Ayat “In the memorandum submitted by the Alliance it was stated” telah memberi kefahaman bahawa status sekular Malaysia hanyalah sekadar cadangan ataupun laporan verbatim dari rekomendasi Parti Perikatan. Apabila ayat ini dibuang, ia menjadikan kedudukan sekular negara ini merupakan satu ketetapan  dan bukan sekadar cadangan. Ini merupakan satu kesalahan besar dalam ruang akademik dan boleh dianggap menipu dalam soal penghujahan.

 

Cadangan Kertas Putih

Selain itu, hujahan lain yang mengatakan Malaysia adalah negara sekular timbul daripada dakwaan Laporan Kertas Putih, iaitu antara 3 dokumen utama yang menatijahkan Perlembagaan Persekutuan selain daripada Laporan Suruhanjaya Reid 1956 dan Perjanjian Tanah Melayu 1948. Dalam perenggan 57 Laporan Kertas Putih ada menyebut:

“There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will in no way affect the present position of the Federation as a secular State, and every person will have the right to profess and practice his own religion….”

Kenyataan ini dilihat menjadi hujah golongan yang berfahaman bahawa Malaysia merupakan negara sekular yang mempunyai agama negara dan majority penduduknya beragama Islam. Sekali lagi berlaku salah faham yang besar disini. Kenyataan perenggan 57 ini sewajarnya dibaca mengikut konteks perenggan tersebut. Dalam Laporan Kertas Putih, perbahasan sifat sekular dengan digandingkan dengan hak kebebasan beragama dan bukan dengan makna pemisahan agama dan negara.

Di samping itu, Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih ini bukanlah dokumen akhir perlembagaan. Laporan Suruhanjaya Reid akan diubah menjadi Kertas Putih sebelum dibahaskan di Parliament of British untuk menjadi satu perlembagaan yang sah. Ramai yang tidak tahu sebenarnya perbahasan mengenai identiti sekular tidak diteruskan perbincangannya dalam debat parlimen dan digugurkan daripada memasuki dokumen final iaitu Perlembagaan Persekutuan 1957.

Justeru itu, hujah mereka yang menggunakan dokumen-dokumen perlembagaan yang mengatakan Malaysia adalah negara sekular telah tertolak sepenuhnya. Termasuklah juga hujah yang sandarkan kepada hujah wakil eksekutif dan legislatif juga turut tertolak. Hanya penafsiran di ruang kehakiman sahaja yang diiktiraf untuk memberi kesimpulan apakah identiti sebenar negara ini.

 

Unit Kajian PEMBINA

1 thought on “Apakah identiti Negara Malaysia: Sekular atau Islam?”

  1. Malaysia memang negara sekular.tidak mengamalkan undang syariah.hanya islam pada nama sahaja

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top