Apa Mesej yang Ingin Disampaikan Merdeka Tahun Ini?

Sumber gambar: Berita Harian

Veteran tentera British (penjajah tanah air kita) akan terlibat dalam perarakan di Dataran Merdeka. Mereka adalah veteran yang melawan komunis.

Adakah dengan mereka melawan komunis, memadam dosa-dosa penjajahan mereka? Lupakah kita kepada pejuang-pejuang tanah air yang berkorban nyawa menentang penjajah British? Segala bantuan yang mereka berikan tak perlu diraikan semasa kita menyambut kemerdekaan.

Dan lupakah kita mayat Tok Janggut yang diarak sebagai amaran kepada rakyat Tanah Melayu? Perjuangan Abdul Rahman Limbong yang mematahkan tipu daya penjajah dalam mahkamah mereka sendiri? Perjuangan Tokku Paloh bersama Sultan Terengganu yang melewatkan kemasukan British ke Terengganu? Perjuangan Datuk Bahaman, Tok Gojoh dan Mat Kilau di Perak dan Pahang? Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak? Mat Salleh dan Antanum di Sabah? dan ramai lagi pejuang-pejuang lain di seluruh tanah air kita.

Iklan Axiata pula mengisahkan guru Bahasa Inggeris daripada Britain yang datang ke sini. Video tersebut “meromantikkan” kehadirannya ke sini.

“Discover how love and unity transcends all boundaries this National Day” tertulis di bawah video tersebut. Di akhir video, tertulis “Negaraku yang kusayangi untuk selamanya.”

Jadi tahun ini kita ingin menyampaikan mesej “unity” dengan penjajah kita?

Jika beliau tidak terlibat secara lansung dalam penjajahan sekali pun, perlukah semua ini dihargai sewaktu kita menyambut ulangtahun kemerdekaan?

Pos Malaysia pula melancarkan koleksi setem Negeri-Negeri Selat. Apa faedahnya menghargai sejarah jajahan takluk British?

Mesej apa yang ingin disampaikan daripada semua ini?

Penjajah telah membawa rahmat ke tanah ini? Mereka adalah hero kita?

Semua ini bakal menghilangkan ruh dan sensitiviti rakyat terhadap penjajahan. Bahkan tidak mustahil beberapa tahun lagi, rakyat akan memuja-muja pula penjajah-penjajah ini beramai-ramai. (Sekarang pun dah ada).

Nama-nama penjajah tidak layak disebut sewaktu kita menyambut kemerdekaan, apatah lagi dihargai. Malah kelompok-kelompok yang mewarisi cara fikir dan gaya hidup mereka (serta closet anglophile) harus dibina semula jati diri mereka.

Pejuang-pejuang tanah air lebih layak diraikan daripada penjajah-penjajah yang telah mengaut kekayaan dan menghina rakyat.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top