Allah, terimalah taubat ku ini!

Dulu semasa saya di bangku sekolah, saya antara pelajar yang agak nakal. Bukan nakal yang biasa-biasa, tetapi nakal yang “luar biasa” sikit. Apa yang saya buat?

Biarlah antara saya dengan Allah ja yang tahu.

Jatuh kerusi.

Macam antiklimaks pula. Hehe.

Kenakalan saya berlarutan sehingga saya menghampiri Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ketika itu, saya mula tersedar dari dibuai mimpi lena dan angan-angan dunia serta dari kesilapan dan kesalahan saya. Saya mula menyesal teramat sangat. Saya rasa sedih dan malu dengan diri saya. Saya bertaubat.

Namun, akhirnya saya tetap seorang manusia. Tidak mampu menjadi malaikat, apatah lagi Nabi.

Kotoran degil dalam diri saya tidak semudah dibersihkan seperti menggunakan serbuk Breeze atau Downy 4x!

Dosa yang pernah saya lakukan kadang kala diulang, ulang dan terus ulang lagi. Ibarat megamovie dalam Astro Fox. Setiap kali saya ulangi dosa tersebut, saya rasa menyesal dan bersalah. Seolah saya mempermainkan taubat. Saya juga takut andai saya mati dalam keadaan saya melakukan dosa yang sama. Dan lebih menakutkan saya adalah bila Allah tidak terima taubat saya kerana sering kali mengulangi dosa yang sama.

Nangis laju-laju.

Ketika saya memasuki zaman matrikulasi, Allah beri kekuatan kepada saya untuk lebih mendekatkan diri kepada agama. Saya mula rajin ke masjid dan menghadiri halaqah-halaqah ilmu selepas solat. Ketika itu juga, saya mula rajin untuk membaca buku-buku motivasi dan agama (Err.. sebenarnya memaksakan diri untuk rajin membaca, bertuah nak rajin gitu saja. Ohoi).

Alhamdulillah, saya mula mendekati dan mendalami agama Islam dan semakin memahami apa itu Muslim walaupun saya dah lama bergelar Muslim.

Geleng kepala.

Dan perkara yang paling saya rasa syukur sungguh-sungguh apabila saat saya mengetahui bahawa Allah akan sentiasa menerima taubat hamba-Nya walau siapa pun dia, dosa apa yang di buat, keluarga apa pun dia, bangsa dan negara mana dia datang dan sekiranya seorang hamba mahu kembali kepada-Nya, maka tiada halangan untuknya kembali.

Allah sebut dalam Al Quran yang Mulia,

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az Zumar  39 : 53)

Bagaimana Mahu Bertaubat?

Maha Pengampunnya Allah, Allah tetap akan ampunkan kita walaupun dosa kita setinggi langit dan bumi, atau kita dihina ramai manusia kerana taubat kita. Walaupun orang cakap,

“Orang macam kau ni tak layak diampunkan Allah.”

“Kau ni memang Tuhan tak ampun dosa kau. Ayok! ”

“Kau ni memang spesis ahli neraka agaknya.”

“Perangai kau dah level syaithon, mana Allah nak ampunkan kau.”

Tetapi yakinlah bahawa Allah tetap akan ampunkan kita.

“Apabila seseorang berkata,” suatu hari Sang Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,”Binasalah manusia”, maka dialah yang akan binasa,”

Inilah amaran Sang Rasul kepada sesiapa yang menghina hamba-hamba yang ingin bertaubat dan kembali kepada Allah.

Jadi bagaimana mahu bertaubat?

Saya beritahu awal-awal, ini bukan prosedur nak bertaubat seperti mana prosedur mahkamah atau prosedur dalam manual lab! Ini hanyalah garis panduan. Sebenar-benarnya, taubat itu sudah diukur saat niat kita ingin bertaubat.

Jadi apa yang saya tulis di bawah ini hanya garis panduan ya. Jangan jadikan ia sebagai fatwa pula.

Peluh kecil.

Ha, yang pertama sekali mesti kena berazam untuk berhenti dan berhenti buat dosa tersebut terus. Tiada tangguh-tangguh. Contoh kalau ketagih pil kuda, kemudian dah taubat tak mahu ambil dan makan pil kuda. Tetapi di tangan masih ada 3 biji pil kuda, apa kena buat?

Jangan simpan ia lagi, terus buang jauh-jauh, sampai laut China selatan. Pil kuda untuk kuda makan, bukan orang yang makan.

Yang kedua, kena betul-betul menyesal dalam hati atas apa yang kita buat. Jangan pernah sesekali kita bangga dengan dosa yang pernah kita buat tu!

Contoh, kalau dulu pernah tidak solat dengan sengaja selama 5 tahun berturut-turut, jangan tangan menggatal kongsi post dalam facebook yang anda bangga tidak solat selama 5 tahun kononnya mengatasi rekod dunia!

Yang ketiga, kita mesti berazam untuk tidak buat lagi selama kita hidup walaupun satu ketika nanti kita mungkin akan terbuat semula kerana kita tersilap langkah. Tetapi setakat ini kita berazam tak nak buat lagi.

Namun bukannya hari ni bertaubat, esok buat lagi. Kemudian lusa bertaubat, tulat buat lagi.

Jatuh kerusi.

Ibarat pergi ke sekolah, hari ini pergi sekolah, esok tak pergi. Lusa pergi sekolah, tulat tak pergi, dan seterusnya. Jika saya jadi pengetua sekolah anda, nescaya hari yang kelima anda tidak akan kembali ke sekolah.

Selepas ketiga-tiga perkara di atas dah dilakukan, maka cara yang terbaik selepas itu adalah kita ambil wuduk dan mengadap kiblat untuk solat sunat taubat 2 rakaat. Kemudian istighfar lah sebanyak mana yang mampu sebagai tanda kita benar bertaubat.

Kemudian, kita mula lakukan perkara-perkara yang baik. Untuk permulaan memang agak sukar dan berat. Tetapi pesanan seorang sahabat saya,

“kalau bukan hari ni kita nak berubah, bila lagi nak berubah? Jangan bertangguh sampai akhirnya masuk lubang kubur!”

Suatu hari, datang seorang pemuda kepada Rasulullah.

“Aku berzina wahai Rasulullah! Bersihkan aku.”

Kelibat Ma’iz bin Malik merayu-rayu di depan Rasulullah. Sungguh sayu ketika itu melihat seorang sahabat mengaku akan kesalahannya datang meminta sang Rasul menghukumnya dengan hukuman Islam.

Namun sebaliknya berlaku.

Rasulullah tidak melihat dia, bahkan Rasulullah pusing bertentangan dengannya. Sang Rasul memberi isyarat menyuruh Ma’iz pergi.

“Aku berzina ya Rasulullah! Bersihkan aku.”

Teguh pendirian Ma’iz merayu meminta untuk dihukum. Begitu takutnya beliau dengan hukuman yang bakal menimpanya di akhirat kelak sekiranya tidak dihukum di dunia ini. Namun Rasulullah seolah cuba memberi pengecualian kepada beliau.

“Boleh jadi”, kata sang Rasul,”kau cium saja Ma’iz. Atau mungkin kau raba raba sahaja.”

“Aku berzina wahai Rasulullah,” Ma’iz terus merayu kepada Rasul. “Tak kan kau tidak tahu bahawa aku berzina.“

Ma’iz terus mendesak.

Sesetengah riwayat lain menyatakan Rasulullah berkata,

“kau mabuk agaknya.”

Namun Ma’iz tetap terus merayu agar hukuman dijalankan ke atasnya.

Allahu Rabbi.

Begitu hebatnya generasi pertama yang ditarbiyah secara terus oleh Rasulullah. Cepat sahaja meminta dihukum sekiranya bersalah. Islam mengajar kita agar tutup aib kita, kemudian baiki diri kita, bila-bila masa sahaja. Allah mahu kita istighfar kepada Dia, minta ampun kepada-Nya dan kembali semula kepada-Nya.

Menangis laju-laju.

Ulang Semula Dosa

Ketahuilah, pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Allah membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu siang.

Allahu Akhbar.

“Wahai anak-anak Adam,” kata sang Rasul yang menyatakan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi. “Selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli.”

“Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.

“Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan”

Begitu luasnya pintu pengampunan Allah sediakan untuk hamba-Nya. Tetapi jangan salah faham, apa yang Allah tawarkan ini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan kita berbuat dosa, tetapi sebagai semangat dan motivasi untuk orang yang kecewa dengan kesalahan diri dan ingin kembali kepada Allah.

Ya, saya akui, kadang-kala apabila kita sudah menyesal dan insaf akan dosa kita, kita dah berazam tidak mahu lakukan lagi, namun pada suatu hari kita tergelincir lagi melakukan dosa yang sama.

Itulah kelemahan kita, kerana kita adalah manusia. Bukan malaikat, bukan bidadari.

Nabi bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang  bermaksud,

“Seorang telah melakukan satu dosa.” Sang Rasul menceritakan sebuah hadis qudsi kepada sahabat dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Lalu dia berkata:

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya ,(dalam riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).”

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain. Dia berkata:

“Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).”

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi. Dia berkata:

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau.”

Allah Allah.. moga Allah ampunkan kita.

Hidayah Itu Tidak Mengenal Siapa

Satu ketika dahulu, adanya golongan-golongan yang menentang kerasa dakwah Rasulullah sallahu alayhi wasallam secara berhadapan walaupun baginda adalah anak saudaranya!

Antaranya adalah Abu Jahal.

Penentangan terhadap baginda memang hebat walaupun pedang sahabat sudah memenggal kepalanya semasa di medan Badar, tetapi kebenciannya kepada dakwah baginda tetap tinggi melangit.

Namun hidayah itu tidak pernah mengenal siapa yang ingin disapa.

Anaknya, Ikrimah yang masuk Islam, lalu menjadi seorang sahabat baginda dan terkenal antara orang yang paling dekat dengan Rasulullah.

Saya nak beritahu, ada manusia yang pernah wujud di atas muka bumi ini menentang Rasulullah, tetapi Allah terima taubatnya seperti Saidina Umar al khattab. Ada juga manusia yang pernah wujud di atas muka bumi ini yang menentang Rasulullah, tetapi akhirnya anaknya atau keturunannya yang menerima hidayah.

Apatah pula sekadar manusia yang minum arak, berzina, ketagih pil kuda, ponteng sekolah, tidak solat, dan sebagainya. InsyaAllah, Allah terima taubat kita.

Jangan salah faham, bukanlah saya nak mengatakan itu semua baik, tidak. Yang dosa tetap dosa, yang salah tetap salah. Tetapi saya nak beritahu bahawa jika seseorang itu ingin kembali kepada jalan Islam, ingin kembali bertaubat kepada Allah,

Ketahuilah bahawa tiada halangan baginya untuk kembali kepada Allah.

Sama sekali tidak ada…

Bertaubatlah..

Moga Allah Redha.

Ahmad Shukery Bin AzizanPenulis bernama Ahmad Shukery Bin Azizan, merupakan anak jati Johor dan masih menuntut tahun akhir di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia. Berkecimpung dalam dunia aktivisme mahasiswa bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sejak tahun 2011. Beliau juga terlibat dalam dunia penulisan sejak dari 2010 dan mula bergiat aktif menulis secara konsisten dengan genre yang pelbagai pada setiap bulan di dalam blog beliau sejak 2011,iaitu  www.biskotmayat.blogspot.com.

Author media

More posts by media

Leave a Reply