6 Kelebihan buat Junior apabila mencari Senior Berpengalaman di IPT

6 Kelebihan buat Junior apabila mencari Senior Berpengalaman di IPT

Tunjuk ajarku senpai!

Senpai adalah bahasa Jepun yang bermaksud senior atau sesiapa yang lebih berusia daripada kita. Tetapi, keseenioritian tidak sahaja diukur daripada sudut umur, malahan pengalaman dalam sesuatu perkara.

Seperti di universiti, senior adalah mereka yang terlebih dahulu memulakan pengajian. Ada sesetengah IPT yang mengamalkan sistem buddyline di mana setiap junior yang baru masuk akan mendapat buddyline yang terdiri daripada pelajar tahun kedua, ketiga dan keempat. Rantaian buddyline tersebut akan bersambung setiap kali ada kemasukan pelajar baru. Sekiranya sistem buddyline tersebut berfungsi, maka sistem itu akan banyak membantu junior untuk menyesuaikan diri serta mendapatkan pelbagai bantuan serata tunjuk ajar daripada buddyline atas.

Dalam Islam, kita diajar untuk menjadi seorang yang bermanfaat kepada orang lain. Maka peranan senior sangat penting untuk membantu junior atau biasanya dipanggil freshie. Para junior pula, jangan malu untuk belajar dan berdamping dengan senior anda di kampus kerana ada banyak kelebihannya. Para senior pula, janganlah menyombongkan diri. Bantulah junior kita.

Senior ini boleh jadi senior yang sama kursus dengan kita, senior yang sama kolej kediaman, senior yang sekelas walaupun bukan sama kursus, senior senegeri, senior sepersatuan dan sebagainya.

Antara kelebihan yang junior akan dapat bila berdampingan dengan senior adalah:

  1. Ibu bapa tidak perlu risau anak mereka terumbang-ambing dalam menguruskan kehidupan di universiti sekiranya mereka mengetahui bahawa ada seseorang yang sudi membimbing anak mereka. Perkenalkan senior tersebut kepada ibu bapa anda, katakkan bahawa senior anda sedia membantu anda, jadi mereka tidak perlu risau.
  2. Daripada senior, kita boleh bertanya mengenai pengurusan biasiswa ataupun PTPTN. Mereka boleh menerangkan kepada anda melalui pengalaman yang telah mereka lalui sebelum ini supaya anda dapat menguruskan permohonan dengan lancar.
  3. Anda boleh mendapatkan nota kuliah untuk sesuatu semester terlebih awal. Kadangkala, para pensyarah akan memeberikan nota kuliah selepas mereka memberikan kuliah untuk sesuatu topik. Jadi, sekiranya anda telah membaca nota terlebih awal pasti anda akan lebih faham kerana telah bersedia dengan topik yang akan dibentangkan oleh pensyarah. Tapi, jangan lupa untuk pulangkan semula nota tersebut kerana ada sesetengah topic yang akan berulang semasa tahun ketiga atau keempat yang memerlukan senior anda merujuk semula nota pada tahun pertama atau kedua.
  4. Soalan peperiksaan yang lepas adalah suatu benda yang berharga untuk anda dapatkan daripada senior anda. Mungkin ada sesetengah universiti yang benarkan pelajar untuk memuat turun soalan peperiksaan yang lepas daripada pangkalan data. Tetapi, jika anda dapatkan daripada senior, anda boleh bertanya terus mengenai bentuk soalan setiap tahun, cara menjawab soalan esei untuk mendapat markah yang banyak, dan cara menajwab yang disenangi oleh pensyarah. Ada sesetengah pensyarah yang suka bila pelajarnya menyertakan ilustrasi. Contohnya untuk menjawab soalan berkaitan proses. Namun, ada pensyarah yang lebih suka soalan begitu diterang dalam stuktur ayat.
  5. Orang yang bagus ialah orang yang melalui kesilapan dirinya, orang yang bijak belajar melalui pengalaman orang lain. Maka, cubalah curi masa untuk berborak dengan senior anda. Dapatkan tips untuk menjadi mahasiswa cemerlang baik dari segi akademik mahupun daripada segi sahsiah. Dapatkan sekecil-kecil tips seperti di mana nak dapatkan makanan murah dan sebesar-besar tips seperti bagaimana untuk mendapat dekan, bagaimana untuk melakukan pembentangan dengan baik dan lain-lain.
  6. Bagi pelajar matrikulasi dan asasi, senior anda mungkin terdiri daripada lepasan matrikulasi dan asasi yang akan atau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda. Anda boleh bertanyakan kepada mereka berkaitan hala tuju selepas asasi dan matrikulasi. Bukankah lebih bagus sekiranya kita mempunyai target hala tuju?

Tak jumpa senior yang boleh membantu anda? Jangan risau. Sempena kemasukan pelajar baru ke matrikulasi dan institusi pengajian tinggi baik kerajaan mahupun swasta, PEMBINA menjalankan kempen #JomCariSeniorAnda untuk memudahkan para pelajar baru bertanya pelbagai soalan. Kami sedia membantu dan membimbing anda dalam perjalanan anda sebagai seorang pelajar sehingga anda tamat. PEMBINA juga menyediakan Whatsapp Group untuk kami bantu anda.

#JomCariSeniorAnda

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top