300 Anggota PEMBINA Turun Padang Jelas Isu IS

photo_2015-04-04_15-11-17

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) – Seramai 300 anggota Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang dilatih untuk memberi penerangan mengenai isu-isu berkaitan Islam turun padang sejak Februari lepas untuk memberi penjelasan berhubung IS kepada golongan belia Islam di negara ini.

Presidennya Ibrahim Mohd Hasan berkata antara kumpulan sasar adalah pelajar universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain isu IS, kumpulan ini yang dipanggil sebagai jurubicara juga dilatih mengendalikan isu liberalisme dan sekular, serta menerangkan maksud jihad yang sebenar, termasuk menerangkan mengenai kedudukan IS, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan kebangsaan kelapan persatuan itu di sini hari ini.

Jurubicara yang dilatih akan menerangkan erti jihad sebenarnya kepada warga belia terutamanya dari kalangan pelajar UA dan IPTA dengan merujuk IS kepada memelihara hak orang awam dan orang bukan Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di Madinah menjadi sebuah negara yang makmur, katanya.

Menurut Ibrahim, di peringkat UA dan IPTA, PEMBINA yakin dengan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan kefahaman Islam kepada semua golongan belia dengan mengembalikan makna Islam itu kepada al-Quran dan Sunah.

“Kita memastikan bahawa mahasiswa Islam tidak terpesong dengan makna Islam yang sebenar, mampu untuk mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan mana-mana ajaran yang songsang”, kata Ibrahim.

Beliau berkata antara usaha yang dilakukan ialah dengan mengadakan program sembang santai dan dialog dengan pelajar IPT supaya mereka tidak terlibat dengan IS.

“Hujahan serta kajian PEMBINA cukup ampuh baik dari sudut falsafah, syariah, sejarah dan perundangan dalam mematahkan hujah yang hampir berstatus quo bahawa Malaysia merupakan negara sekular,” katanya.

Beliau berkata PEMBINA adalah persatuan belia dan mahasiswa di mana setiap ahlinya bertindak sebagai tempat rujukan dan penyelesaian masalah terutama berkaitan dengan isu-isu kehidupan generasi muda hari ini.

Persatuan ini turut memfokuskan kepada program latihan kepimpinan ahli, bengkel pengurusan organisasi sistematik dan bengkel pengurusan dan kepimpinan mahasiswa.

Sumber – BERNAMA

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top